Wednesday, June 3, 2009

Penyanyi Dan Pemain Gambus Suku Kaum Berunai


Dikala anak-anak muda sedang ghairah dengan lagu-lagu rock dan cinta balada, tiba-tiba muncul seorang gadis cantik manis dari Kg. Tengah Bongawan, bernama Fauziah Gambus (Fauziah Suhaili) 19 tahun, memperjuangkan muzik tradisi gambus. Beliau bukan hanya setakat melontarkan suaranya yang lunak merdu lewat lagu-lagu yang didendangkan, tetapi juga berkebolehan memetik sendiri gambusnya, sangat mengagumkan! Album yang diterbitkan oleh Ampal Production ini ( Abu Bakar Ellah) mengandungi sembilan buah lagu-lagu warisan suku kaum Berunai seperti Zapin Berunai, Ampok-ampok Bulan, Adai-adai, Dayang Mengalai, Gundah Gulana, Seloka Kasih, Cencang Rabung dan Naindung. Mungkin dalam album akan datang beliau bolehlah memuatkan lagu-lagu ciptaan sendiri. Sebuah lagi produksi tempatan Sabah yang boleh dibanggakan dan wajar diketengahkan di peringkat nasional maupun antarabangsa. Cuma dalam versi MTV, ada beberapa video di mana pergerakan mulut Fauziah tidak selari dengan lirik lagu, yang demikian nampaklah sedikit cacat celanya. Selain dari itu keseluruhan penerbitan album ini layak diberi pujian dan ini seharusnya dimiliki oleh warga Berunai (samada di Sabah maupun di Negara Brunei sendiri).

1 comment: