Friday, June 5, 2009

CERPEN

DISEBALIK LUKISAN

Aku menepuk dada meja. Bunyi berdentum mengopak ketenangan bilik darjah. Lengkaplah sudah kemarahan hati. Runtuh jua tembok kesabaran.

Mata murid-murid yang lain turut sama mengarah pada Dayang Natasya, mengiring pandanganku yang menikam tajam ke muka putih licinnya.

Dayang Natasya menyambut kedongkolanku dengan mata bundarnya tanpa berkelip. Kesepian menyelimuti suasana. Dadaku yang mengombak melambung kewarasan akalku.

Tubuhku seperti mahu melayang mendapatkan Dayang Natasya yang duduk di belakang barisan tengah. Mahu kutampar pipinya, biar terkelepar air liur dari bibir tipisnya. Aku kian ditawan kemarahan.

Ku jerit namanya agar keluar ke hadapan. Aku melolok kalau-kalau terdapat tanda ketakutan di wajahnya. Tapi gayanya yang bersahaja mencabar wibawaku sebagai seorang guru. Namun aku yakin dia pasti gemirap.

Setelah Dayang Natasya menghampiri, aku merenggut kertas yang disembunyikan dibalik tangan yang disilangkannya ke belakang. Ku tatap wajahnya sebelum mengalih bola mata ke kertas yang telah ku ramas.

“Apa ni?” Kertas kutayang ke mukanya. Terlalu hampir sehingga ia terundur sedikit ke belakang.

“Awak hina saya?” Tuduhku melulu tanpa memberi selarik kesempatan Dayang Natasya membela diri.

Kertas itu kemudian ku keronyok kasar lantas menjadi sebesar bola ping-pong. Tidak cukup dengan itu, ku lempar gumpalan kertas tersebut mengenai dagunya.

Sungguh kurang ajar murid seorang ini, bentak hatiku. Tangan kekarku terasa ringan mahu melempang wajah bujur sirih tersebut. Ku ceka tengkuk bajunya. Dayang Natasya terkial-kial bila genggaman kejapku mengheretnya ke luar kelas.

Di luar, ku suruh dia berdiri sebelah kaki. Moga-moga dia jeran diperlakukan sedemikian, harapku. Murid-murid lain tertungkap dengan tindakanku.

Aku melangkah masuk dengan sejumlah kepuasan. Namun baki kemarahan masih menjalar di hati. Akibatnya, aku mengajar dengan mengenepikan terus segala teori dalam bilik darjah yang telah ku pelajari semasa menuntut di maktab.

Sebaik lonceng berdentang, aku bergegas keluar tanpa menunggu habis ucapan terima kasih murid-murid dalam kelas. Di depan Dayang Natasya yang sedang mengimbangi tegak berdirinya, aku meyambung gertak.

Jariku yang lurus menunding, hampir-hampir menyentuh hidung mancungnya. Ku asak telinganya dengan suara yang sengaja ku tempekkan. Seperti seorang yang sedang bercakap dengan orang yang pekak badak.

Dayang Natasya terkebil-kebil memandangku tanpa ada sepercikpun sikap mahu memberontak. Cuma keletihan menguasai tubuhnya kerana didera berdiri sebelah kaki.

“Jangan masuk selagi guru lain belum sampai!” Amaran akhir itu ku nyatakan tanpa ada angguk setuju dari Dayang Natasaya.

Ketika melintasi kelas Tiga Setia, aku bertembung dengan Cikgu Ahmad. Langkah kaki ku perlahankan supaya pergerakkan kami bergendeng-gendengan.

“Kecoh lagi?” Cikgu Ahmad menyulam perbualan. Aku tersenyum. Senyum yang dipaksa-paksa.

“Budak yang sama?” Lanjut Cikgu Ahmad ketika kami berpapasan dengan dua orang murid yang mengangkat buku.

Aku mengangguk sekali. Rupanya keributan yang kerap berlaku di kelasku, dapat diikuti dengan jelas.

“Melukis, melukis, melukis!!” Bebelku mendadak. Cikgu Ahmad terangkat kening. Gigi kacipnya mengigit bibir bawahnya yang hitam.

“Cikgu tahu apa yang dilukisnya ketika saya mengajar Matematik tadi?” Giliranku pula yang bertanya. Aku menolak bingkai cermin mata yang melurut di batang hidung.

“Seorang lelaki punya tanduk macam syaitan!” Pecah ketawa dari mulut Cikgu Ahmad sebaik mendengar peneranganku. Aku hanya mampu tersenyum pahit.

Cikgu Ahmad menepuk lembut bahuku. Gelaknya tadi membuncah keresahan di jiwaku. Langkahku serta-merta tersuntuk.

“Saya ingin membincangkan sesuatu dengan cikgu,” pinta Cikgu Ahmad sambil menolak tubuhnku perlahan. Aku yang tergumam menurut langkahnya ke bilik Pendidikan Seni.

Ketika berada di dalam bilik Pendidikan Seni, aku yang duduk di kerusi empuk melingas dinding yang banyak tergantung lukisan. Mataku tertancap lama pada sebuah mural.

“Cikgu ada masuk ke kelas lain?” Pertanyaan itu mematah keasyikkanku menyorot mural di dinding.

“Selepas rehat,” jawabku ringkas. Letak punggung di kerusi ku betulkan.

“Maaf kerana mengambil masa senggang cikgu,” luah Cikgu Ahmad sopan.

“Tentu setuju jika saya katakan Dayang Natasya murid yang agak pintar dalam kelas cikgu.”

Aku mengiakan dengan anggukan kepala. Kebelakangan ini, murid yang bernama Dayang Natasya itu sering menimbulkan masalah. Baru kebelakangan inilah, akui hatiku yang sudah lekang dari getaran marah.

“Ada sesuatu yang ingin dinyatakannya. Cuma apa yang hendak dinyatakan itu tidak secara konvensional,” tambah Cikgu Ahmad teratur. Aku cuba mengupas maksud dari kata-kata Cikgu Ahmad, sekaligus semakin menunda fikirku untuk menguak masalah baruku.

“Maksud cikgu?” Soalku setelah terasa tewas mencari kemungkinan disebalik kata-kata yang diutarakan oleh Cikgu Ahmad.

“Tentu cikgu masih ingat.”

“Nak ingat apa?” Tanyaku yang terus kalah menemui maksud perbincangan kami.

“Dahulu sekolah ini menghadapi masalah muridnya yang suka menconteng dinding bangunan sekolah.”

Aku bertambah bingung pada percakapan Cikgu Ahmad yang sudah berlarutan memasuki waktu rehat. Suara murid-murid mula bercericau.

“Apabila saya cadangkan diadakan aktiviti keceriaan sekolah, masalah tersebut berkurangan, bahkan terus pupus,” Cikgu Ahmad berhenti setakat itu seraya menolak jurai rambutnya yang menjerungkau di dahi.

“Murid menconteng dinding disebabkan oleh kreativiti yang tertekan.”

Aku menggaru kepala yang tidak gatal. Itu sebagai menyatakan rasa tidak fahamku tentang kata-kata Cikgu Ahmad yang ku anggap telah menyimpang dari tujuan asal kami duduk di bilik seni tersebut.

“Bila kita meluangkan masa dan tenaga melayan karenah murid, kita sebenarnya memberi peluang kepada mereka untuk meluahkan isi hati yang membuku di jiwa mereka. Secara tidak langsung, kita akan dapat mengawal serta menyalur kreativiti pelajar dengan cara yang mudah, berkesan dan betul. Tapi kita mesti menjadi fasilitator ke atas mereka secara konsisten.”

Aku terkernyih mendengar penerangan yang panjang lebar dari Cikgu Ahmad. Kian menebal rasa sebal di lubuk hati disebabkan gagal untuk bersekongkol maksud dengan Cikgu Ahmad yang berusia separuh abad itu.

“Sekarang bangunan sekolah kita cantik dengan pelbagai ilustrasi hasil kreatif jari-jari murid kita. Malah pelajar sekolah ini sering memenangi pertandingan melukis diperingkat zon.”

“Saya tidak faham. Cikgu menggunakan set induksi yang payah untuk ku tanggapi dalam perbincangan kita ini.” Lurus bendul aku mengakui kelemahan. Sudahnya aku memohon Cikgu Ahmad bercakap tentang maksud sebenar.

Cikgu Ahmad gelak, menampakkan gigi depannya yang masih tegap. Tangan kanannya menarik laci meja kemudian menyelongkar mencari sesuatu. Aku terceranguk.

“Ini tiga helai lukisan Dayang Natasya yang saya simpan,” aku menyambut lukisan yang dionyokkan. Selama ini aku tidak ambil pusing tentang apa-apa mengenai seni. Membelek lukisan pun sekadar berkata cantik atau buruk sahaja. Maksud yang tersirat disebalik lukisan, tiada masa untukku mantafsirnya!

Aku menatap lukisan di tangan. Gambar seorang perempuan cantik dengan budak bertocang dua. Apa yang menghairankan, si perempuan cantik dilukis titik-titik air mata luruh di pipi.

Lukisan seterusnya seorang lelaki bermulut besar. Janggut dan misai memaparkan raut yang garang pada lelaki dalam lukisan tersebut.

Aku membelek lukisan yang terakhir. Aku terperanjat. Hatiku mula pusang. Lukisan seperti yang ku lihat semasa di kelas. Sungguh irap. Punya tanduk dengan mata membelalak, lelaki berwajah syaitan!

“Dayang Natasya memberitahu, ayahnya sering mabuk. Acapkali meminta duit. Dia selalu melihat emaknya menangis selesai bertengkar setiap malam dengan ayahnya.”

“Macamana cikgu tahu?” Tanpa memandang Cikgu Ahmad, aku menyoal.

“Gembira dan duka kanak-kanak boleh kita selami pada lukisan yang dilakarnya. Meski lukisan tersebut tidak cantik.”

“Tapi, adakah lukisan menggambarkan realiti kehidupan yang sebenar?”

“Ya, boleh dikatakan 99 peratus. Selebihnya ditokok imaginasi.”

“Jadi Dayang Natasya….,” aku tidak mampu meneruskan kata-kata.

“Saya telah berpeluang berbual dengannya. Memang begitulah derita yang menghambatnya kini.” Aku tertunduk. Lukisan ku letak di atas meja.

Aku memandang Cikgu Ahmad. Cikgu yang menjadi guru beredar dalam matapelajaran Pendidikan Seni disetiap kelas tahun tiga. Aku seolah-olah mendapat sesuatu yang baru darinya. Sesuatu yang dimiliki oleh manusia-manusia seni sepertinya. Dia seakan memberi kesempatan aku meluah rasa.

Tok! Tok! Tok! Ketukan keras di daun pintu. Serentak pandangan kami berlari ke arah pintu.


“Masuk!” Laung Cikgu Ahmad. Pintu terkuak. Seorang pengawas lelaki tersembul.

“Cikgu, ada murid dilanggar kereta di luar sekolah,” ucap murid tersebut cemas.

Cikgu Ahmad terlonjak dari kerusi. Aku turut sama terangkat punggung. Minggu ini aku salah seorang guru bertugas. Pastilah risiko berat tersebut dirujuk kepada guru-guru yang bertugas.

“Siapa nama murid, murid kelas mana?” Bertalu-talu pertanyaan ku setelah menolak kerusi ke belakang.

“Entah, muridnya berkulit putih dan bertocang dua,” kata pengawas yang masih berdiri di pintu.

“Bertocang dua!!” Ulangku pada frasa tersebut. Aku mendahului Cikgu Ahmad menghambur keluar.

Dayang Natasya! Aku menghungas mengejar beberapa orang guru yang ku lihat sedang mendugas. Degup jantungku berdetak cepat. Di Pagar utama, aku disekat oleh murid-murid yang berkerumun. Ku lihat Cikgu faizal mencempung Dayang Natasya yang berlumuran darah di kepalanya. Tergesa-gesa dibawa masuk ke dalam kereta.

Aku menyerbu pantas. Kereta yang sedang berkusik terhenti serta-merta bila aku menahannya. Aku gopah-gapah masuk ke dalam.

Tuhan, selamatkanlah anak kecil ini. Doaku sungguh-sungguh. Aku berharap agar tuhan mendengar doaku meski aku tahu dan tasdik tuhan itu maha mendengar.

Tanpa segan silu, aku mengongoi di depan Cikgu Faizal. Guru besar yang duduk di hadapan tertoleh-toleh. Aku seperti tidak menyedari ketuaku tersebut juga ikut sama.

Kereta meluncur laju. Ketika itu, air mataku lebih laju menuruni pipi!


AWANG ROSLAN MUSA
30 Mac 1997

No comments:

Post a Comment