Saturday, August 22, 2009

Perihal Along

KUALA LUMPUR: Sindiket ceti haram atau along kini tergamak memaksa wanita yang ingin berhutang menandatangani `perjanjian syaitan’ untuk menggadaikan tubuh dan menjadi pelacur sebagai kaedah terbaru melangsaikan hutang.Untuk berlaku `adil’, lelaki yang berhutang pula diarah menandatangani perjanjian menyerahkan isteri, anak perempuan atau adik beradik wanita sebagai cagaran yang kemudian dipaksa melacurkan diri sebagai syarat tambahan jika gagal melunaskan hutang dalam tempoh ditetapkan.

Kaedah pembayaran hutang versi terbaru itu ditawarkan along kepada mangsa kesempitan yang tidak mempunyai cara lain bagi mendapatkan wang dengan mudah dan cepat.Mangsa wanita dikehendaki mencagarkan badan mereka kepada sindiket along terbabit untuk diperdagangkan sebagai pelacur dalam tempoh ditetapkan sebelum hutang berkenaan dianggap langsai sepenuhnya.

Perkara ini terbongkar apabila seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Robina, 27, tampil membuat aduan selepas dipaksa along menjadi pelacur dan pelayan pelanggan (GRO) akibat gagal melangsaikan hutang.

Mangsa yang berasal dari ibu kota mendakwa, `mimpi ngeri’ dalam hidupnya itu bermula awal tahun ini selepas dia meminjam RM30,000 daripada along untuk dijadikan modal memulakan perniagaan butik.

“Selepas gagal mendapatkan pinjaman daripada bank, saya mengambil keputusan menghubungi along sebelum berjaya mendapat pinjaman RM25,000 dalam tempoh sehari selepas permohonan.

“Dua minggu selepas itu, along terbabit datang melawat salun saya untuk memungut hutang,” katanya.Robina yang masih bujang berkata, dia terpaksa membayar RM1,000 seminggu tidak termasuk faedah pinjaman sebanyak 20 peratus.

“Pada bulan ketiga, saya gagal membayar ansuran hutang tapi anehnya along terbabit langsung tidak menunjukkan sikap marah, sebaliknya sering mengajak saya duduk berbincang selain berpura-pura simpati dengan nasib saya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, detik mengejutkan muncul apabila seorang daripada along terbabit yang dikenali sebagai Ah Weng, mencadangkan supaya dia membayar hutang dengan tubuhnya.“Ah Weng beri tawaran semua hutang boleh dilangsaikan jika saya sanggup menjadi pelacur sambilan atau GRO di kelab malam yang akan ditentukan mereka.

“Jika bersetuju, saya akan dibayar gaji RM5,000 sebulan yang kemudian boleh digunakan untuk membayar hutang selain potongan untuk kadar `bunga’ terbabit,” katanya.

Robina yang ditemui ketika membuat aduan kepada Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa), Datuk Dr Jacob George, berkata dia terkejut apabila along terbabit mendakwa mempunyai rangkaian sindiket di serata dunia dan peminjam boleh memilih untuk `berkhidmat’ di Hong Kong, Taiwan, Jepun, Dubai atau Singapura.Selepas diugut dan diancam, dia akhirnya bersetuju menjadi GRO di sebuah pusat hiburan terkemuka dan turut memberi perkhidmatan seks kepada pengunjung.

Sumber Rujukan :
http://kisahmalaysia.blogspot.com

1 comment:

  1. saya berharap pihak berkuasa bertindak dengan sangat tegas dalam menangani isu along ini.seperti disabah along masih lagi berleluasa.ramai peminjam tidak berani membuat aduan dibalai polis jika diugut kerana ada sesetengah along mempunyai orang dalam dibalai.kami juga tidak berani membuat aduan kerana kami takut jika kami membuat aduan kami akan diancam dikemudian hari.saya sangat berharap jika ada pihak yang betul-betul bisa membantu kami rakyat sabah dalam menangani isu along ini.

    ReplyDelete