Friday, August 21, 2009

Ketua Perompak Mati Ditembak

SHAH ALAM – Tidak sampai dua jam kejadian samun berlaku di sebuah rumah di Kota Kemuning sehingga menyebabkan seorang warga emas maut, dua ahli kumpulan yang dikenali sebagai Geng Roy mati ditembak polis di Jalan Merak Kesuma, Seksyen U9, Kayangan Heights di sini pukul 5 pagi semalam.

Ekoran tumpasnya dua penjenayah yang dipercayai ketua kumpulan dan timbalan itu, polis berjaya membongkar markas operasi geng terbabit apabila menemui sebuah pondok yang menjadi tempat ahli kumpulan berkumpul untuk merancang kegiatan samun mereka.

Pondok kecil tersebut terletak di lokasi tersorok iaitu di dalam hutan berbukit di Kayangan Heights yang merupakan salah sebuah kawasan kediaman elit di bandar raya ini.
Pihak polis mendapati terdapat laluan pejalan kaki yang dibuat menghala ke arah pondok kecil beratapkan kain kanvas berkenaan iaitu kira-kira 30 meter dari Jalan Merak Kesuma yang merupakan jalan mati.


Di dalam pondok tidak berdinding itu terdapat beberapa alat untuk pecah rumah seperti satu pemotong besi, satu kuku kambing, dua bilah parang dan beberapa barangan lain seperti lilin dan lampu suluh.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar memberitahu, polis telah mengekori dua lelaki warga Indonesia itu sehingga ke satu jalan mati di Kayangan Heights di sini sebelum melepaskan tembakan.

“Kedua-dua penjenayah dikenali sebagai Roy dan Andre itu berusia dalam lingkungan 30-an dan memiliki dokumen perjalanan sah.
“Polis kini menyiasat sama ada mereka ada kaitan dengan kes samun di Kota Kemuning yang menyebabkan seoarang warga emas meninggal dunia dan kita juga sedang memburu saki baki ahli Geng Roy yang dipercayai masih bebas,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

No comments:

Post a Comment