Friday, May 29, 2009

Cerpen

KATARSIS

Kerana tidak pekaklah Karim meyakini pintu itu belum diketuk. Jiwanya terus dipagut resah, menanti bunyi ketukan yang diharap-harapkan.

Sesekali Karim bangkit dari tubir katil, berjalan merapati pintu, cuba mendengar kalau-kalau ada derap langkah mendatangi bilik sewanya. Namun, seringkali kekecewaan menghantar dirinya tercatuk ke birai katil semula. Pun begitu, matanya tidak lekang menampan daun pintu.

Ketukan yang bakal bergema, adalah pelerai kegelisahan yang bergumpal di kutub hatinya.

Karim mendengus. Duduknya sering tidak betah. Segenap ruang bilik dikitari, membawa sekujur tubuh yang disendati debar. Segala pergerakkan dirasai amat canggung. Kesekian kali, korden tingkap dikuaknya, membiar pandangan lepas ke kosmos yang kelam.

Dari tingkat enam hotel itu Karim melihat kelangsungan hidup tanpa henti. Meski telah dinihari, penghuni kota mengisi malam dengan hala tuju masing-masing. Dan dia sendiri malam ini bergadang untuk satu pakatan sulit.

Isteri! Entah ke mana saja isterinya merambu malam ini. Betapa seorang perempuan yang bergelar isteri padanya, sudah acapkali menjolok lidahnya menggugurkan talak. Namun Karim terus tega mengheret rumah tangganya ke bilah-bilah hari yang semakin ruwet.
Amat memedihkan, di mata isterinya, dia bukan seorang lelaki. Cukup mudah isterinya mempertikai kejantanannya setelah mendapati ia 'tewas sebelum berjuang'.

Malam ini Karim ingin memadam tanggapan sinis isterinya. Justeru itulah ia berada di bilik hotel ini. Meski kesudahan tindakan malam ini akan menghantar sebahagian hidupnya ke dalam pemara konkrit yang berpintu jeriji-jeriji besi atau langsung saja ke tali gantung!

Semacam ada tiupan semangat tiba-tiba merentap kembara lamunannya. Rasa aneh itu berubah pula menjadi pusaran dendam. Bergegas Karim menerpa kepala katil. Diselak sedikit bucu bantal. Benda yang disembunyikan sejak mula masuk ke bilik tersebut, masih tersisip kemas.

Karim mengemam bibir. Dendam dan benci bersusur-galur memamah perasaan. Rancangan yang diatur belum membuahkan hasil. Namun ia tetap menanam harapan, perangkap yang dipasang, pasti menjerat mangsa.

Mustahil bekas rakan sekerjanya, Razak, yang telah disogok duit tergamak menipu. Masih diingatinya, berderai ketawa Razak bila ia bertanya tentang pelacur. Lalu seminggu kemudian, ia mula intim dengan seorang pelayan kelab malam yang beroperasi di pusat bandar.

Tapi Razak yang baru selesai menjalani hukuman kerana menggelapkan duit syarikat, tidak tahu rancangan sebenarnya. Pada tubuh isteri sendiri pun ia boleh memuas nafsu. Bukan pada pelacur-pelacur yang bersedia melebar kangkang!

Karim puas walau banyak duit kikis sejak awal rancangan. Sang perempuan yang mulanya skeptis, kini bekerjasama. Itupun, kerana sering dihulur kepingan not bernilai bukan sedikit.

Malam ini, ia adalah tukang tilik garis nasib yang berselirat di tapak tangan mangsanya. Malam ini, ia merupakan hakim yang menjatuhkan hukuman. Malam ini, ia seorang pembunuh yang menentukan kematian. Malam ini, permulaan buruan bersirinya. Dan malam ini, tercatatlah lagi dosanya.

Karim seakan nampak cadar putih katil ditompoki merah darah. Ia seolah melihat dinding bilik terpercik darah segar. Ia seperti terbau hanyir darah yang membuak dari tubuh mangsanya.

Badannya menggeletar akibat nekad songsang yang bertugu di kalbu. Akan gerunkan isterinya bila lelaki-lelaki yang pernah menggomoli tubuh isterinya mati satu-persatu?

Sedang fikiran dihanyutkan arus niat songsang, bunyi ketukan tiba-tiba menerobos lubang telinga. Karim segera menyerbu pintu untuk menerima tetamu di luar. Belum pun pintu terpelangah, seorang perempuan gopoh-gapah menyusup masuk.

"Bagaimana?" Dilontar pertanyaan sebaik pintu dirapatkan. Tapi tidak ada sahutan balas. Hanya pandangan mereka saja bertaut.

"Kau pasti lelaki itu antara yang pernah meniduri isteri mu?"

"Aku tak silap orang."

"Benar-benar pasti?"
Hati Karim serta-merta menggerutu dengan pertanyaan tersebut. Kemarahan mula berakar.

"Awak diupah untuk tujuan yang saya rancangkan. Jangan banyak soal!" Bentakan itu menggugah sang perempaun. Nyata lelaki di depannya dipaliti lumpur dendam yang tebal.

"Lelaki itu berada di bilik 203."

"Sedang lena?"

"Ia tidur pulas."

"Barangkali keletihan dan kepuasan menikmati tubuh mu."

"Lelaki itu mabuk!"

"Bagus, memudahkan lagi kerjaku. Engkau memang bijak," tidak cukup dengan pujian, Karim memaut tubuh bugar sang perempuan ke dalam dakapan.

"Sekarang engkau boleh pergi," bisik Karim lirih. Rangkulan dikendurkan. Namun sang perempuan balum mahu berganjak.

"Bayaran belum sepenuhnya langsai!"

"Jangan risau, aku tetap ingat janji kita."

"Bila boleh dapat?"

"Dua tiga hari lagi aku datang ke tempat kerjamu. Pergi dari hotel ini sekarang!" Sang perempuan berlalu kalut. Hatinya puas setelah dijanjikan habuan yang akan diterima kelak.

Karim menapak sambil melingas nombor disetiap pintu yang dilewati. Di sebalik jaket berwarna coklat tua yang dipakai, tersembunyi senjata, siaga untuk meradak dada mangsa.

Ketika mata tertancap pada nombor yang dicari, degup dadanya mengencang hebat. Suasana yang dibungkus sepi mengukuhkan sangkaan Karim bahawa rata-rata penginap di hotel tersebut sedang lelap.

Bergetar jua jarinya tatkala memulas tombol pintu. Sebaik menongol ke dalam, didapati tubuh seorang lelaki terbujur atas ranjang, tanpa dibaluti pakaian.

Dengkur lelaki itu menderam perlahan. Di sebelah kiri katil, tertenggek botol arak atas meja kecil. Isinya sudah luak benar. Karim menghunus belati. Akan dihantar lelaki yang tidak sedar apa-apa itu ke alam lena yang lebih panjang.

Tak semena-mena, lelaki yang terlentang kaku, mengiring ke kanan. Seperti tahu dada bidangnya hendak dirodok. Karim terkinjat. Posisi lelaki itu kini, memaksa ia berundur bagi menimbang semula tindakan yang perlu dibuat. Sekilas sorotannya rontok pada pakaian yang berselerak di lantai.

Karim yang sebelumnya dituba dendam, tiba-tiba terasa diri amat bacul jika membunuh mangsa dalam kondisi demikian. Agitasi jahat yang begitu kompak, ranap oleh kesedaran yang mendadak ke luang zulmat kalbunya.

Karim melirik belati di tangan. "Terlalu jauh aku terpesong," akui hatinya. Dibiar benaknya berkelana mencari punca transisi. Kecurangan isteri membuat Karim tercabar. Sementelahan tindakan isterinya berhubungan dengan lelaki lain hingga ke tempat tidur, menyebabkan Karim muncul sebagai seorang yang bersikap arbitrari!

Karim mengercitkan mata ketika memandang semula lelaki yang kekal terbaring. Busa dendam yang mengapung di laut hati, kian ditolak rapat ke pantai keinsafan. Masalah impotensi telah menjunamkan maruah dan nilai kelakiannya. Namun, ia terlalu ego untuk menerima hakikat tersebut.

"Kalau rumah tangga mulai goyah, tempat pertama yang harus diperiksa adalah seks!" Karim teringat kata-kata konsultan perkahwinan yang dulu pernah ditonton di televisyen.

Curang isterinya suatu kewajaran. Karim pasrah disuntik kebenaran. Isteri mana yang mampu membendung penderitaan batin jika hampir lapan tahun nihil dalam mendapatkan nafkah batin. Saranan isterinya agar ia mendapatkan khidmat kaunseling seksual, tidak sekumin pun membekas.

Kekesalan kian merimbun. Betapa perasaan bercelaru telah membenam fikiran rasionalnya. Karim mencongak usia diri. Dalam umur tiga puluh lebih, padanya bukanlah terlalu lewat untuk kembali 'menjadi lelaki'.

Sememangnya Karim maklum, seorang isteri berhak membuat aduan ke pejabat kadi jika enam bulan setelah berkahwin, suami tidak mampu memenuhi tuntutan batin isteri. Selanjutnya, Mahkamah Syariah akan memberi peluang tiga bulan hingga ke setahun untuk suami mendapatkan rawatan.

Namun, sifat ego mengekang segalanya. Walau belum merujuk mana-mana pakar perubatan, Karim sendiri menyedari organ seksnya tidak normal. Sikap yang tidak mahu berbuat sesuatu untuk memulihkan kepincangan hubungan kelamin, menyebabkan isterinya bertambah liar!

"Mengapa tidak kulepaskan saja isteriku?" Karim mula terpujuk. Mengikat isteri berterusan tanpa ada penyelesaian, semalah dengan merelakan isteri terus bergelumang dalam kubang maksiat.

Mengalah adalah bukti kesabaran di saat diri dicengkam tekanan. Berpuput bujukan di nubarinya. Tekadnya kini ingin keluar dari kepompong kekusutan serta tidak mahu berterusan menghuni sangkar ego.

Serentak itu, Karim beredar meninggalkan bilik tersebut. Ia menggeleng kesal bila mengenang diri hampir-hampir jadi seorang pembunuh. Jiwanya kini tepu katarsis.

Bertatih bayangan wajah isteri datang. Wajah yang membayang bersama bibir mongel menguntum senyum. Senyum menang seorang isteri yang akan dilepaskan untuk mendandan hidup baru.

Anehnya, Karim juga seperti baru meraih kemenangan setelah menukik tumbang pohon dendam yang subur di hatinya. Karim terus melangkah tapi tidak ke arah bilik sewanya. Dan, di sebalik jaket, belati kembali tersisip tanpa palitan darah.

AWANG ROSLAN MUSA
24 MEI 1998

No comments:

Post a Comment